Sunday, 2 June 2013

Cina tidak dijadikan bangsa penipu - oleh Subky Latif

SEORANG Melayu yang berfikiran kritikal mendakwa dia ditipu seorang Cina dan mungkin ada beberapa kehttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiKChwuZHNcFhDPIG-G4Zqsn9Qwu-UEJRdj6_ehYRc2N7DYk4XcPye8LQzv4ragz7qhlsPNf9xG1U_PfPC6A2PwowlOpRpx4Qza_E7k2gcc-LtvYPDl3kHUXcDJr8scgLXfLL6WVVVICKw/s1600/CINA+SOKONG+PAS.jpgjadian lagi ditipu oleh Cina.
Dengan pengalaman itu dia tidak percayakan Cina dan mengira Cina bangsa yang penipu. Lalu dia menempelak PAS percaya kepada DAP yang penuh Cina dan berkawan dengan KeADILan yang ramai Cina?



Lama sebelum saya menyertai PAS dalam satu forum di Universiti Malaya yang disertai sama oleh Dato’ Senu Abdul Rahman dan Lim Kit Siang, saya menyuruh PAS mencari sekutu Cina dan menyuruh DAP mencari sekutu Melayu.
Lebih 30 tahun kemudian, PAS membuka keahlian kepada Cina dan India, dan ia ada ‘partner’ Cina dari DAP dan KeADILan. Ertinya apa yang saya saran itu diterima PAS. Maka saya mesti berfikiran terbuka dan mesti berjiwa besar untuk hidup bersama orang Cina di sebuah negara yang kira-kira 30 peratus rakyat dan penduduknya terdiri daripada orang Cina.
Sudah tentu sikap saya itu didorong oleh kepentingan dan pemikiran politik yang saya anuti. Agama saya Islam jelas mengingatkan saya supaya berhati-hati dan bahaya mempercayai Yahudi, tetapi agama saya mengajar saya jangan asabiyah iaitu menyokong kezaliman oleh kaum saya dan dari kaum saya terhadap kaum lain.
Dan saya kata kepada kawan Melayu tadi, bukan individu Cina saja yang menipu tetapi ramai juga orang Melayu yang menipu. Sesetengah orang Melayu itu bukan saja dia tipu orang lain, sesama orang Melayu pun dia tipu, malah bangsa Melayu pun dia tipu dan jual.
Jawabnya, kalau orang Melayu tipu orang Melayu, orang Melayu masih boleh sembahyang. Dia cuba mengingatkan saya, nanti orang Melayu tidak boleh sembahyang.
Sikap dan fikiran seperti ini dipercayai berlegar dalam otak setengah orang Melayu khususnya yang terpe ngaruh benih perkauman dalam Umno. Umno sudah berkawan dengan Cina sejak sebelum merdeka. Tetapi benih perkauman yang tidak dibanterasnya, ditambah sikap liberal dengan cara hidup menipu, maka perkauman tidak terbendung dan budaya menipu tidak tersekat.
Menipu sudah jadi budaya dalam masyarakat Malaysia. Semua bangsa tidak dilahirkan sebagai bangsa yang menipu. Cuma yang dirakam dalam Islam kaum yang tidak boleh dipercayai ialah Yahudi dan Nasrani. Yang memulakan Nasrani itu pun asalnya Yahudi juga.
Agamanya sendiri mereka tipu. Mereka mendakwa menganut agama Nabi Musa a.s. Tetapi kitab suci Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa mereka pinda. Mereka tipu penganut agamanya dengan ajaran yang diselewengkan. Kalau agama mereka sanggup ditipu, maka mereka boleh tipu siapa saja.
Adapun orang-orang yang menipu daripada kalangan lain-lain bangsa adalah berpunca daripada didikan ibu bapa masing-masing tidak memberi didikan yang betul kepada anak-anak dan cucu-cucu.
Islam adalah agama yang melarang penipuan. Tetapi ajaran Islam yang syumul tidak dapat dilaksanakan di Malaysia kerana Islam yang terpakai di bawah pemerintahan Umno dan Barisan Nasional bukan Islam sebagai ad-din.
Sistem politik dan sistem pemerintahannya tidak mengikut apa yang dikehendaki oleh Islam. Umno ada alasan sendiri dan mereka sejak awal akui mengapa Islam seperti yang diperjuangkan oleh PAS itu tidak boleh dipakai. Kerana Malaysia bermasyarakat majmuk.
Dengan demikian semua orang boleh menipu. Cina tipu Melayu dan Cina sendiri pun mereka tipu. Melayu ramai yang tipu Cina di samping Melayu dan kerajaan juga mereka tipu. Umno berkawan dengan MCA yang penuh Cina dan MIC yang penuh India tetapi tidak dapat sekat penipuan disebabkan ajaran Islam tidak dipakai.
Oleh kerana ajaran Islam tidak berkuat kuasa, orang Islam pun orang bukan Islam di samping orang Islam juga tipu orang Islam.
PAS mahu laksanakan Islam yang syumul melalui kuasa politik dan pemerintahan. Pemerintahan itu hanya boleh diperolehi melalui ajaran demokrasi yang mengadakan pilihan raya yang ditentukan oleh undi setiap rakyat.
Maka rakyat Malaysia itu bukan Melayu saja. Ada Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain. Semuanya ikut menentukan siapa yang berkuasa. Untuk memungkinkan PAS dapat bersama membentuk kerajaan bagi melaksanakan cita-cita perjuangannya, ia mesti beregu dengan semua kaum itu.
Justeru itu kena percaya kepada orang lain supaya orang lain juga boleh percaya kepada kita. Sikap PAS kepada orang lain adalah berpandu kepada sikap Rasulullah s.a.w. kepada Hudaibiyah antaranya dengan musyrikin Quraisy.
Baginda tidak yakin dengan kesetiaan Quraisy. Tetapi baginda mesti buat perjanjian dengan mereka. Baginda bersetuju memeterai perjanjian Hudaibiyah. Baginda tidak tipu Quraisy dan tidak khianati perjanjian itu walaupun kandungi perjanjian itu dikira berat sebelah. Baginda tunaikan segala yang disetujui. Hanya Quriasy yang mengkhiananti perjanjian.
Moral tidak tipu Quraisy itu menyebabkan Islam dan baginda dihormati oleh semua hingga pemimpin utama Quraisy Abu Sufian memeluk Islam.
PAS mesti bersikap terbuka dan berjiwa besar bermuafakat dengan semua kaum – DAP dan KeADILan – bagi menunjuk akhlak dan moral Islam kepada sekutu bukan Islam. Dengan sokongan mereka kita boleh bentuk kerajaan bersama.
Kerajaan bersama itu belum memberi hak kepada PAS untuk melaksanakan semua yang dikehendaki nya. Daripada tidak boleh buat semua, tidak pula semua tidak dapat dibuat.
Melalui muafakat inilah kita salurkan budaya larangan menipu kepada semua. Cina yang tidak menipu sudah tentu tidak akan menipu. Tetapi yang menipu berkat dengan ajaran tidak menipu, moga-moga berhenti menipu secara beransur-ansur. Kalau diberi peluang 50 tahun kepada Pakatan berkuasa, maka perangai penipu itu tidak lagi jadi penyakit sosial yang kronik. Tipu tidak boleh dihapuskan tetapi boleh diminima atau jadi kes yang terpinggir.
Oleh kerana orang Melayu beragama Islam maka memerangi perangai menipu di kalangan orang Islam tentu lebih mudah. Apabila Islam sebagai ad-din dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan sendiri penipuan dapat diminimakan daripada kalangan orang Islam.
Tetapi orang Islam hendak lebih ke depan menunjukkan sikap tidak menipu sesiapa. Pemimpin-pemimpin Islam khususnya para ulama jangan sekali-kali menipu orang bukan Islam dan orang Islam. Misalnya jangan gunakan duit zakat untuk kepentingan diri.
Mana yang haram katakan haram. Jangan yang haram dikatakan halal disebabkan mahu menjaga kepentingan pangkat dan sebagainya.
Jangan ada lagi orang Melayu beranggapan menipu orang Melayu saja yang berdosa. Orang Islam konon tidak berdosa menipu orang bukan Islam. Asal dinamakan menipu tidak kira tipu orang Islam atau tipu orang bukan Islam, sama saja dosanya.
Apabila orang Islam tidak tipu orang bukan Islam, maka mudah nilai ajaran tidak tipu itu menjadi pegangan kepada semua.
Tipu menipu berlaku bukan disebabkan oleh keturunan dan bangsa seseorang tetapi adalah disebabkan oleh sistem yang dipakai. Setiap bayi yang dilahirkan adalah bersih dan suci. Yang menjadi ia Yahudi, Nasrani dan Majusi ialah ibu bapanya.
Dengan ini kita jangan mudah kata, Cina itu bangsa penipu atau Melayu saja bangsa yang baik. Semua bangsa adalah sama. Ada yang baik dan ada yang jahat. Budaya yang diterapkan yang menyebabkan ramai yang baik atau ramai yang tidak baik.

No comments:

Post a Comment